KUALA LUMPUR: China Communications Construction Group (CCCG), syarikat pembinaan yang berpangkalan di China, merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pasaran Asia Tenggaranya.
Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte Ltd, Zhang Bao, berkata usaha sama untuk projek pembangunan hartanah baharu akan dicari di Malaysia, terutamanya di lokasi utama di sekitar kawasan ibu kota.
"Kami percaya pasaran hartanah akan pulih pada 2022, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk mencapai tahap aktiviti pra-pandemik.
"Dengan bantuan kerajaan, kita akan memainkan peranan sebagai pemaju hartanah mewah dan menyumbang ke arah kemakmuran negara dengan menarik pelaburan asing.
"Walaupun ini adalah tempoh paling mencabar dalam tempoh 20 tahun yang lalu, saya berpuas hati dengan apa yang telah kami capai pada 2021 dan akan berusaha bersama pasukan saya untuk memberikan prestasi yang lebih baik tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
CCCG ialah syarikat Fortune 500 yang berada di kedudukan ke-61 di dunia dengan pendapatan AS$106.8 bilion (RM449.79 bilion).
CCCG dan rakan kongsinya WCT Holdings Bhd, melalui syarikat usaha sama (JV) CORE Precious Development Sdn Bhd, sedang membangunkan CORE Residence @ TRX yang adalah projek mewah pegangan bebas dengan nilai pembangunan aksar (GDV) bernilai RM1.4 bilion di Tun Razak Exchange.
Mengulas lanjut Zhang berkata, gabungan pelancaran infrastruktur mega, pengaktifan semula program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pembukaan semula sempadan pada 2022 telah menjana keterujaan dalam pasaran hartanah.
Katanya, pertemuan secara dalam talian dengan bakal pembeli dari negara dan wilayah seperti Hong Kong, China dan Singapura sedang berjalan, dan telah menyatakan hasrat untuk terbang ke Kuala Lumpur bagi meneliti projek mereka sebaik sahaja dibenarkan.
"Dalam tempoh pandemik, CORE Precious mengambil langkah segera untuk mengtransformasi secara digital dan membolehkan pembeli antarabangsanya membuat proses pembelian end-to-end secara jarak jauh.
"Ini termasuk penggunaan visual berkualiti tinggi, teknologi realiti maya dan strim langsung ejen. Pelanggannya dengan pantas menerima kecekapan dan kemudahan membeli-belah untuk rumah baharu secara dalam talian dan bukannya sebaliknya secara kehadiran individu.
"Walaupun impak wabak ini sudah pasti dirasai, kami masih berjaya menjana jualan yang ketara hasil daripada tindakan pantas pasukan kami dalam mengalihkan sebahagian besar operasi secara digital. Minat terhadap projek kami kekal berdaya tahan kerana lokasi utamanya di daerah kewangan antarabangsa negara dan harga menarik setiap kaki persegi. Ini memberikan keyakinan dan ruang kepada pelanggan untuk menikmati kenaikan harga selepas wabak," katanya.
Di samping itu, Zhang berkata, pasukannya sedang berusaha keras untuk memastikan kemajuan yang lancar dalam pembinaan pembangunan hartanah sulungnya CORE Residence @ TRX.
"Syarikat itu mengemas kini pelanggannya mengenai kemajuan projek melalui laman webnya setiap bulan, dan setakat ini, projek itu dalam perjalanan untuk disiap pada 2023 seperti yang dijadualkan.
"Di sebalik berlaku penutupan dan gangguan dalam kerja pembinaan, kami yakin untuk menyerahkan produk kami kepada pelanggan tepat pada masanya seperti yang dijanjikan. Projek itu, yang terdiri daripada tiga menara kediaman servis, telah mencapai Tingkat 20 dalam pembinaan," katanya. - BeritaHarian
All Rights Reserved | CORE PRECIOUS DEVELOPMENT
Designed by Trinity42